Sunday, March 9, 2008

Allah Tidak Pernah Jauh Kawan.,Doa Kita SELALU di Dengar

Oleh: DR. MOHD. ASRI ZAINUL ABIDIN

Tanda kasih sayang dan rahmat Allah kepada hamba-hamba-Nya adalah Dia tidak mewujudkan sebarang cobaan untuk seorang hamba yang senantiasa selalu memohon kepada-Nya. Insan diperintahkan berhubung langsung dengan Allah tanpa adanya ‘broker’ apapun dalam hubungan yang suci itu. Tiada sebarang perantaraan antara Allah dan hamba-hamba-Nya.



Islam menolak segala unsur keberhalaan yang menjadikan makhluk sebagai tuhan jelmaan untuk menggantikan tuhan yang hakiki. Islam menganggap perbuatan memohon kemakbulan doa dari makhluk adalah syirik. Apapun dan Siapapun makhluk itu. Sekalipun nabi ataupun wali.

Seorang muslim tidak diizinkan pergi ke kubur mereka dan menyeru: wahai fulan tolonglah saya! Atau: Wahai nabi tolonglah tenteramkan jiwa saya! Atau: Wahai wali sembuhkanlah penyakit saya!

Perbuatan itu adalah syirik. Mukmin hanya meminta kepada Allah .
Firman Allah: (maksudnya)

“Dan tiada yang lebih sesat dari orang yang menyeru selain Allah , yang tidak dapat menyahut seruannya sampai ke hari kiamat, sedang mereka (makhluk-makhluk yang mereka sembah itu) tidak dapat menyedari permohonan tersebut. Dan apabila manusia dihimpunkan (untuk dihitung amalan pada hari akhirat), segala yang disembah itu menjadi musuh (kepada orang-orang yang menyembahnya) dan membantah mereka.” (surah al- Ahqaf: 5-6).

Firman Allah: (maksudnya)


“Allah jua yang memasukkan malam kepada siang dan memasukkan siang kepada malam (silih berganti), dan Dia yang memudahkan peredaran matahari dan bulan; tiap-tiap satu dari keduanya beredar untuk suatu masa yang telah ditetapkan. Yang melakukan semuanya itu ialah Allah Tuhan kamu, bagi-Nyalah kuasa pemerintahan; sedangkan mereka yang kamu sembah selain Allah itu tidak mendengar permohonan kamu, dan kalaulah mereka mendengar pun, mereka tidak dapat memperkenankan pemohonan kamu; dan pada hari kiamat pula mereka mengingkari perbuatan syirik kamu. Dan (ingatlah) tiada yang dapat memberi tahu kepadamu (Wahai Muhammad, akan hakikat yang sebenarnya) seperti yang diberikan Allah Yang Maha mendalam pengetahuan-Nya.” (surah Fatir: 13-14).

Maka perbuatan memohon selain Allah , sama ada menyeru berhala secara terang atau memanggil nama para wali seperti Abdul Qadir al-Jailani atau wali ‘songo’ atau apa saja termasuk dalam syirik yang diharamkan oleh al-Quran dan al-sunah.

Nabi s.a.w. begitu menjaga persoalan akidah ini. Dari Ibn ‘Abbas:

“Bahawa seorang lelaki berkata kepada Nabi s.a.w: “Apa yang Allah dan engkau kehendaki.” Maka baginda bersabda kepadanya: Apakah engkau menjadikanku sekutu Allah , bahkan (katakan): apa yang hanya Allah kehendaki.” (Riwayat al-Imam Ahmad dinilai sahih oleh Al-Albani, Silsilah al-Ahadith al-Sahihah, 1/266).

Bandingkanlah ketegasan Nabi ini dengan ajaran sesetengah guru tarekat atau sufi yang mencetuskan segala unsur keajaiban pada diri mereka agar dikagumi oleh pengikutnya. Akhirnya, mereka seakan Tuhan yang disembah, atau wakil Tuhan yang menentukan penerimaan atau penolakan amalan pengikutnya. Bahkan untung rugi nasib masa depan pengikut pun seakan berada di tangan mereka. Demikian juga, pengikut yang melampau, berlebih-lebihan memuja tokoh agama, akhirnya boleh terjerumus kepada kesyirikan. Terlampau memuja tokoh seperti itulah yang menyebabkan banyak individu dianggap keramat dan suci sehingga dipanggil ‘tok keramat’ lalu mereka seakan dimaksumkan.

Kemudian, datang pula orang-orang jahil ke kubur mereka membayar nazar atau meminta hajat mereka ditunaikan. Sehingga apabila saya ke Urumuqi di China, ada satu gua yang kononnya dianggap tempat Ashabul Kahfi yang disebut dalam al-Quran itu. Ramai yang pergi melakukan kesyirikan dengan meminta hajat di situ. Saya beritahu bahawa dalam dunia ini entah berapa banyak gua yang didakwa kononnya tempat Ashabul Kahfi. Ada di Turki, Jordan dan lain-lain. Semuanya dakwaan tanpa bukti. Sama juga kononnya tempat-tempat sejarah nabi yang didakwa oleh sesetengah pihak. Tiada petunjuk yang dapat memastikan ketulenannya. Jika pun benar, mereka bukan tuhan untuk seseorang meminta hajat. Inilah yang terjadi kepada Nabi Isa. Dari seorang nabi yang diutuskan, akhirnya manusia menabalkannya menjadi anak Tuhan. Meminta hajat daripada orang-orang agama atau soleh setelah mereka mati adalah syirik. Islam tidak kenal perkara seperti itu. Islam tulen bebas dari segala unsur kebodohan tidak bertebing itu.

Ada yang cuba membela dengan menyatakan: bukan apa, mereka ini ialah orang yang dekat dengan Allah , kita ini jauh. Maka kita gunakan perantaraan mereka. Macam kita hendak dekat dengan menteri atau raja. Saya kata kepada mereka: Adakah awak menganggap Allah itu sama dengan tabiat raja atau menteri awak? Dakwaan inilah yang disanggah oleh al-Quran sekeras-kerasnya.

Firman Allah: (maksudnya)

“Ingatlah! Hanya untuk Allah agama yang bersih (dari segala rupa syirik). Dan orang-orang musyrik yang mengambil selain dari Allah untuk menjadi pelindung itu berkata: “Kami tidak menyembah mereka (tuhan-tuhan palsu) melainkan untuk mendekatkan kami kepada Allah sehampir-hampirnya”. Sesungguhnya Allah akan menghukum antara mereka tentang apa yang mereka berselisihan padanya. Sesungguhnya Allah tidak memberi hidayah petunjuk kepada orang-orang yang tetap berdusta (mengatakan yang bukan- bukan), lagi sentiasa kufur (dengan melakukan syirik).” (al-Zumar:3).

Setelah Allah menceritakan tentang bulan Ramadan dan kewajiban puasa, Allah terus menyebut kemustajaban doa. Ia menunjukkan adanya kaitan yang kuat antara puasa Ramadan dan janji Allah untuk memustajabkan doa hamba-hamba-Nya. Allah berfirman (maksudnya):

“Dan apabila hamba-hamba-Ku bertanya kepadamu mengenai Aku maka (beritahu kepada mereka): Sesungguhnya Aku (Allah ) sentiasa hampir (kepada mereka); Aku perkenankan permohonan orang yang berdoa apabila dia berdoa kepada-Ku. Maka hendaklah mereka menyahut seruan-Ku (dengan mematuhi perintah-Ku), dan hendaklah mereka beriman kepada-Ku supaya mereka mendapat petunjuk.” (surah al-Baqarah: 186).

Demikian, Allah itu sentiasa hampir dengan kita, mendengar dan memperkenankan doa kita. Sesiapapun boleh sampai kepada-Nya. Tiada pengawal atau orang tengah yang menghalang seorang hamba untuk merintih dan merayu kepada Tuhannya. Siapapun hamba itu. Apa pun bangsanya dan apa pun bahasa doanya. Apa pun sejarah buruk dan baiknya. Tuhan sentiasa sudi mendengar lalu memustajabkan pemohonan mereka dengan cara yang dikehendaki-Nya. Bertambah banyak hajat dan permohonan seorang hamba, bertambah kasih dan dekat Allah kepadanya. Amat berbeza dengan tabiat makhluk yang lemah ini. Walau bagaimana baik pun seseorang dengan kita, namun jika kita terlalu meminta, perasaan jemu dan bosan akan timbul dalam jiwanya. Allah Maha Suci dari demikian. Dia menyuruh kita berdoa dan membanyakkan doa. Ini kerana doa adalah lambang kehambaan diri kepada zat yang Maha Agung.

Firman Allah (maksudnya):

“Dan Tuhan kamu berfirman: Berdoalah kamu kepada-Ku nescaya Aku perkenankan doa permohonan kamu. Sesungguhnya orang-orang yang sombong takbur daripada beribadat (berdoa kepada-Ku) akan masuk neraka jahanam dalam keadaan hina.” (surah Ghafir: 60).

Seseorang kadangkala tidak perasan bahawa apabila dia berdoa kepada Allah sebenarnya dia sedang melakukan ibadah yang besar. Walaupun pada zahirnya kelihatan dia sedang memohon untuk kepentingan diri sendiri, namun hakikatnya dia sedang membuktikan keikhlasan tauhidnya kepada Allah dan ketundukan kepada Tuhan Yang Sebenar. Maka dengan itu Nabi menyatakan: Doa itu adalah ibadah. (Riwayat Abu Daud dan al- Tirmizi, sahih). Jika sepanjang malam seorang hamba berdoa kepada Allah , bererti sepanjang malam dia melakukan ibadah yang besar.

Doa sentiasa diterima oleh Allah . Jika ada yang kelihatan tidak diterima, mungkin ada beberapa faktor yang mengganggu. Mungkin pemohonan itu tidak membawa kebaikan jika dimustajabkan. Allah Maha Mengetahui. Seperti hasrat kita ingin mengahwini seseorang yang kita suka, lalu kita berdoa agar Allah menjadikan dia pasangan kita. Allah lebih mengetahui jika itu tidak baik untuk kita lalu Allah memilih untuk kita pasangan yang lain. Atau Allah memustajabkan doa orang lain yang lebih dikehendaki-Nya. Atau Allah memustajabkan doa calon berkenaan yang inginkan orang lain. Segalanya mungkin. Namun doa tidak sia-sia. Pahala tetap diberikan, kebaikan yang lain pula akan diganti di dunia dan di akhirat.

Sabda Nabi s.a.w.:

“Tiada seorang muslim yang berdoa dengan suatu doa yang tiada dalamnya dosa, atau memutuskan silaturahim melainkan Allah akan memberikan kepadanya salah satu dari tiga perkara: sama ada disegerakan kemakbulan atau disimpan untuk diberikan pada hari akhirat, ataupun dijauhkan keburukan yang sepandan dengannya.” (Riwayat Ahmad, al-Bazzar dan Abu Ya‘la dengan sanad yang sahih).

Maka, ada doa kita kepada Allah diterima olehnya di dunia. Ada yang tidak diberi disebabkan hikmat yang Allah lebih mengetahuinya, lalu disimpan doa itu di sisi-Nya untuk diberikan pada hari akhirat dengan yang lebih baik dan lebih utama untuk kita. Atau doa itu ditukar dengan kebaikan-kebaikan yang lain seperti diselamatkan kita dari pelbagai bahaya yang sebahagian besarnya tidak pernah diduga. Betapa banyak keberbahayaan yang menimpa orang lain, tetapi kita diselamatkan oleh Allah . Tidak juga kerana permohonan kita dalam perkara tersebut atau kebijaksanaan kita, namun barangkali doa kita dalam perkara yang lain, lalu diberikan gantian keselamatan untuk kita dalam perkara yang tidak diduga. Kadangkala Dia tidak memberikan kepada kita sesuatu permohonan disebabkan rahmat-Nya kepada kita. Barangkali ingin menyelamatkan kita. Dia Maha Mengetahui, jika diberikan, mungkin kita hanyut atau menempuh sesuatu yang merugikan kehidupan di dunia atau akhirat. Kita pun demikian. Bukan bererti apabila seorang bapa tidak tunaikan kehendak anaknya tanda kebencian terhadapnya. Bahkan sebahagian besarnya kerana kasih sayang dek bimbang jika diberikan akan mendatangkan kemudaratan. Maha Suci Allah untuk dibandingkan dengan kita semua, namun yang pasti rahmat-Nya sentiasa melimpah. Jika Dia menangguhkan doa kita, tentu ada hikmah-Nya.

Di samping itu hendaklah kita faham, doa itu bermaksud permohonan. Seorang yang berdoa mestilah bersungguh-sungguh dalam doanya. Maka tidaklah dinamakan berdoa jika tidak faham apa yang kita doa. Sebab itu saya amat hairan dengan sesetengah orang yang berdoa tanpa memahami maksud. Sesetengah mereka menghafal teks Arab kerana hendak menjadi ‘tekong’ doa dalam pelbagai majlis. Malangnya, ada yang tidak faham apa yang dibaca dan yang mengaminkan pun sama. Ada orang merungut, kata mereka, umat Arab di Masjidilharam dan Masjid Nabawi tidak baca doa selepas solat beramai-ramai. Itu menunjukkan mereka tidak kuat pegangan Islam mereka. Saya katakan: Islam tidak diturun di kampung halaman kita, ia diturunkan di Mekah dan Madinah. Mereka melakukan apa yang menjadi amalan Rasulullah. Lagipun seseorang yang bersolat disuruh berdoa ketika dalam solat dan berwirid selepasnya. Dalam hadis, kita diajar agar berdoa ketika sujud dan selepas membaca tasyahud sebelum salam. Di situlah antara waktu mustajabnya doa.

Sabda Nabi s.a.w.:

“Paling dekat hamba dengan tuhannya adalah ketika sujud, maka banyakkan doa ketika sujud.” (Riwayat Muslim).

Nabi memberitahu tentang doa selepas tasyahud sebelum memberi salam dalam solat:

“Berdoalah pasti mustajab, mintalah pasti akan diberikan.” (Riwayat al-Nasai, sanadnya sahih).

Bukan bererti orang yang kita tengok tidak mengangkat tangan berdoa kuat beramai-ramai selepas solat itu tidak berdoa. Kita yang barangkali kurang faham sedangkan mungkin mereka berdoa dalam solat melebihi kita. Jika seseorang berdoa selepas memberi salam, tentulah dalam banyak hal, hajat makmum dan imam tidak sama. Maka jangan marah jika kita lihat orang berdoa bersendirian.

Nasihatilah mereka yang membaca doa tanpa faham maksudnya, atau mengaminkan tanpa mengetahui isinya. Lebih menyedihkan, kadangkala doa dibaca dengan nada dan irama yang tidak menggambarkan seorang hamba yang sedang merintih memohon kepada Allah . Sebahagian nada itu, jika seseorang bercakap kepada kita dengan menggunakannya pun kita akan pertikaikan. Layakkah nada seperti itu sebagai doa kepada Allah yang Maha Agung?

Benarlah sabda Rasulullah s.a.w.:

“Berdoalah kamu kepada Allah Taala dalam keadaan kamu yakin akan dimustajabkan. Ketahuilah sesungguhnya Allah tidak menerima doa dari hati yang lalai dan alpa.” (Riwayat al-Tirmizi, disahihkan oleh al-Albani).

Pelajari kitab nas-nas agama tentang doa kerana ianya amat penting bagi kehidupan dunia dan akhirat kita.

- DR. MOHD. ASRI ZAINUL ABIDIN ialah Mufti Kerajaan Negeri Perlis.


Read More...

Taukah Kamu....

Mensyukuri Nikmat

Hadith :

Rasulullah s.a.w bersabda yang maksudnya:

”Sesungguhnya Allah mengaruniakan kepada sesuatu kaum itu nikmat yang kekal berada bersama mereka selagi digunakan untuk menunaikan hajat mereka yang memerlukan. Apabila mereka ini berpaling daripada berbuat sedemikian maka Allah akan pindahkan nikmat tersebut kepada kaum yang lain pula.”
(Riwayat Tabrani)


Uraian :

i) Segala nikmat yang dikurniakan oleh Allah S.W.T kepada kita hendaklah digunakan bertepatan dengan tujuan diberikan. Itulah tanda kesyukuran yang dituntut oleh Islam.

ii) Setiap muslim janganlah bersifat takut/ragu untuk melakukan amal kebajikan dan bersedia memperbaiki segala amal perbuatannya kerana Allah akan memberi ganjaran walau sekecil amalan tersebut.

iii) Kita hendaklah mengambil pelajaran atas kesusahan yang menimpa orang lain agar tumbuh rasa syukur dalam diri dan agar kita tidak menyia-nyiakan nikmat yang kita dapat, karena nikmat yang disalahgunakan dan tidak disyukuri akan ditarik kembali oleh Allah S.W.T.

Sumber : Jabatan Kemajuan Islam Malaysia

Read More...

Valentine's Day??

Oleh MOHD. FARID MD. ALIAS (fikrahremaja@yahoo.com)

HARI ini 14 Februari,
tibalah hari yang dikomersialkan sebagai Valentine’s Day atau Hari Kekasih.

Hari yang ditunggu-tunggu oleh sesetengah pasangan kekasih bukan Islam untuk bertemu, meluahkan perasaan cinta masing serta bertukar-tukar hadiah.

Malangnya dewasa ini semakin ramai pula umat Islam terutamanya golongan remaja yang terpengaruh dengan acara sambutannya dan turut merayakannya. Malah ada yang bertindak di luar batasan sehingga timbul gejala sosial lain seperti perzinaan, rogol dan sebagainya. Akibatnya sangat buruk bukan sahaja kepada remaja itu sendiri, tetapi juga kepada keluarga, generasi akan datang serta pada agama dan negara.


Usaha pihak yang tampil untuk memperjelas berkenaan larangan menyambut hari ini patut dipuji. Hal ini membantu mengelakkan umat Islam daripada terjebak dengan program sambutan yang bercanggah dengan syariat Islam.

Namun ironinya pada masa yang sama kedapatan juga pihak mempromosikan sambutan hari ini yang mana kumpulan sasarannya adalah golongan belia Islam itu sendiri. Ibarat satu pihak berusaha membina sebuah kota tetapi satu pihak berusaha merobohkan kota yang terbina.

Dalam situasi sosial yang meruncing ini, strategi terbaik buat remaja Islam hari ini adalah dengan membina kekuatan dalaman yang berlandaskan faktor keilmuan dan keimanan. Berkenaan faktor keilmuan, penjelasan berkenaan larangan menyambut Hari Kekasih perlu disebarkan agar remaja memahaminya.

Faktor keimanan pula berperanan menentukan pertimbangan remaja sama ada mahu menerima penjelasan tersebut atau tidak. Bagi yang berfikir dan melihat dengan mata hati, mereka akan menerima serta mengelakkan diri daripada menyambut Hari Kekasih.

Namun ada yang berdegil menyambut Hari Kekasih walaupun setelah mengetahui penjelasan berkenaan isu tersebut, maka ditakuti bahawa pertimbangan remaja tersebut didorong oleh perasaan nafsu diri. Malah ada yang meluahkan hujah yang pelbagai demi menjustifikasikan sambutan tersebut.

Ada yang menyatakan bahawa mereka bukannya menyambut Hari Kekasih secara berlebih-lebihan, hanya sekadar kiriman satu khidmat pesanan ringkas (SMS) atau sekuntum bunga. Besar atau kecil sambutan yang dilakukan bukanlah persoalannya, tetapi pokok pangkalnya niat beserta tindakan walau sekecil mana demi menyambutnya adalah perlu untuk dielakkan.

Ada pula yang mempersoal tidaklah salah menjadikan satu hari khas untuk berkasih-sayang seperti 14 Februari ini. Malah ditambah dengan hujah mereka bahawa bukannya mereka bermaksud mengingati peristiwa sejarah berkenaan tarikh tersebut. Ada pula yang menyatakan bahawa mereka sekadar suka-suka menyambutnya di samping mengeratkan tali persahabatan.

Terdapat pelbagai punca yang menyebabkan remaja terikut-ikut dengan budaya ini. Pertama, kalangan remaja Muslim tidak tahu latar belakang sejarah Valentine’s Day, sehingga mereka tidak merasa bersalah untuk mengikutinya.

Dalam erti kata lain, terdapat remaja Muslim yang memiliki kesedaran mengenai sejarah yang rendah. Sejarah Valentine’s Day dikatakan berasal dari kisah seorang paderi Kristian yang dihukum bunuh kerana mempertahan tindakannya mengahwinkan ramai askar secara rahsia sedangkan undang-undang Rom ketika itu menghalang golongan muda berkahwin sebaliknya dikerah untuk menjadi tentera.

Apabila hal ini berlaku di celah-celah ceteknya pengetahuan tentang sejarah serta kerapuhan benteng iman, remaja Muslim tidak mampu untuk menolak budaya ini, lalu menganggap bahawa ini adalah sebahagian daripada perayaan global dan tidak berkaitan dengan agama.

Hilangnya jati diri di kalangan remaja Muslim memburukkan lagi situasi ini, lalu remaja Muslim bagai terikut-ikut dengan budaya asing ini terutama bagi mereka yang sedang dilamun cinta.

Banyak lagi punca yang menyebabkan remaja terikut-ikut budaya ini , tetapi apa yang penting di sini adalah peranan yang harus dimainkan oleh banyak pihak dalam menyedarkan remaja akan hal ini.

Cinta yang hakiki

Realitinya, Islam adalah agama yang praktikal, adil dan tidak mengongkong. Islam agama yang mengatur kehidupan dengan lebih sempurna. Islam tidak pernah menyekat hubungan kasih-sayang di antara umatnya, tetapi perlu melalui saluran yang dibenarkan oleh syarak.

Cinta yang utama adalah cinta kepada Allah , Rasul-Nya, dan jihad di jalan-Nya. Cinta hakiki yang berlandaskan iman akan melahirkan cahaya keinsafan kepada hakikat diri dan penciptaan. Cinta hakiki akan melahirkan jiwa rela berkorban dan mampu menundukkan hawa nafsu. Cinta Ilahi akan memandu manusia supaya hidup lebih bererti.

Kasih sesama makhluk pada sifatnya adalah tidak kekal, ia bergantung kepada keadaan, tetapi kasih hamba kepada pencipta-Nya dengan iman dan takwa, manakala kasih Pencipta kepada hamba berkekalan.

Hal ini jelas sebagaimana firman Allah s.w.t. yang bermaksud:

Katakanlah (Wahai Muhammad): Jika benar kamu mengasihi Allah maka ikutilah aku, nescaya Allah mengasihi kamu serta mengampunkan dosa-dosa kamu. Dan (ingatlah), Allah Maha Pengampun lagi Maha Mengetahui. (Ali Imran: 31).

Islam memandang cinta kasih itu sebagai rahmat daripada Allah . Maka, seorang mukmin tidak dianggap beriman sebelum dia berhasil mencintai saudaranya seumpama dia mencinta dirinya sendiri (riwayat Muslim).

Perumpamaan kasih sayang seorang mukmin umpama tubuh; jika salah satu anggota tubuh terasa sakit, maka tubuh yang lainnya turut berasa sakit. (riwayat Bukhari dan Muslim).

Justeru, di mata Islam mencintai dan dicintai itu adalah suatu yang suci yang harus disuburkan dalam dada setiap pemeluknya tidak kira masa, keadaan dan tempat. Oleh sebab itu, Islam menghalalkan perkahwinan sebagai saluran yang betul untuk meluahkan perasaan cinta dan keinginan berkasih- sayang. Pun begitu, sebagai remaja, janganlah kita lupa bahawa kasih-sayang kepada ibu bapa, keluarga, agama, bangsa dan negara juga adalah sebahagian daripada tuntutan agama.

Peranan banyak pihak

Ibu bapa adalah pihak terdekat dengan anak-anak dalam mendidik mereka agar tidak menyambut Hari Kekasih. Hal ini merangkumi perbincangan ilmiah dengan anak-anak agar mereka faham berkenaan maksud larangan meraikannya. Bagi ibu bapa yang kurang arif untuk menjelaskannya kepada anak-anak secara berkesan, mereka boleh memberikan artikel-artikel yang berkaitan untuk dibaca.

Kesan globalisasi pada hari ini ternyata menuntut pihak ibu bapa agar lebih berketrampilan dari segi intelektual demi menangkis serangan pemikiran (ghazwatul fikr) Barat daripada menguasai minda anak-anak.

Ibu bapa harus menyuburkan perasaan kasih-sayang yang berlandaskan keimanan dan tidak hanya menjurus kepada memenuhi keperluan diri dan nafsu.

Ibu bapa boleh menunjukkan contoh yang baik dengan bergaul secara berhikmah, bijaksana serta berlemah lembut dengan ahli keluarga. Aktiviti-aktiviti boleh dilakukan secara berjemaah, serta pemberian hadiah tidak semestinya pada hari-hari tertentu, tetapi juga pada hari-hari biasa.

Dengan ini, anak-anak memahami bahawa kasih-sayang bukanlah terletak kepada motif pemberian tersebut, tetapi lebih kepada mengekalkan hubungan baik serta dapat bersama-sama menuju ke jalan yang diredai.

Peranan media dan masyarakat juga amat penting dalam membantu remaja untuk memahami mengapa mereka tidak harus terikut-ikut dengan budaya ini. Media berperanan mendidik masyarakat melalui tulisan, rancangan serta program-program supaya manusia memahami bahawa cinta bukanlah berlandaskan kepada nafsu semata-mata.

Masyarakat juga harus berperanan sebagai agen pendidik iaitu tidak menyertai ‘perayaan’ ini dan para peniaga tidak pula mengambil kesempatan di atas sambutan ini dengan mengadakan sambutan besar-besaran di kompleks beli belah, kedai-kedai cenderamata dan sebagainya.

Justeru, banyak pihak boleh membantu dalam mendidik remaja supaya tidak mengikut budaya asing ini tanpa memahami akan natijahnya.

Kesimpulan

Kasih sayang dalam Islam bersifat universal. Ia tidak dibatasi ruang dan waktu, juga tidak dibatasi objek dan motif. Kasih-sayang diwujudkan dalam bentuk yang nyata seperti silaturahim, menjenguk yang sakit, meringankan beban jiran tetangga yang sedang ditimpa musibah, mendamaikan orang yang bertelagah, mengajak kepada kebenaran dan mencegah perbuatan munkar.

Dalam pada itu, Islam tidak melarang kita saling mengenali adat resam serta budaya umat lain selagi tidak melewati batasan yang ditetapkan. Bagi perkara yang jelas bercanggah dengan ajaran Islam, maka kita perlu menjauhinya sebagaimana firman Allah dalam surah Al-Kaafiruun yang bermaksud: Bagi kamu agama kamu dan bagiku agamaku.

Sudah saatnya remaja Islam sedar dari kejahilan dan bangkit ke arah masa depan yang lebih baik. Kalau tidak sekarang bila lagi, kalau bukan kita, lalu siapa lagi

Read More...

Menyiapkan Kematian

Nurjeehan : Dust is My Bed - A thought provoking nasheed, beautiful reminder by Meshary Alarada about life and death and how we will all inevitably return to Allah SWT. A Must see. There is no musical instruments, all done with vocal harmony and humming of different sounds.

Nothing in this life is certain… not even our next meal… What is for certain is death. Whether we like it or not.. or deny it however much we want to and act oblivious, it is much closer to us than our own shadow. It will get to us no matter where we hide in this vast universe.
———————————————-


PERNAHKAH kita bayangkan diri kita berada di atas ranjang kematian, apakah yang dapat kita lakukan waktu itu ? Suatu pertanyaan yang mesti dijawab oleh semua manusia yang masih hidup. Bagaimanakah keadaan detik-detik terakhir dari nafas kita yang akan berlalu itu? Apakah kita termasuk orang yang suka untuk bertemu Allah , ataukah sebaliknya seperti hamba yang melarikan diri dan takut bertemu tuannya kerana kesalahan yang dilakukannya?

Belajar dari akhir kehidupan para salaf adalah amat penting bagi kita, kerana mereka adalah orang-orang terkemuka dari umat ini, para pemimpin dan ulama kaum muslimin. Sungguh mereka sangat takut kalau kembali kepada Allah dalam keadaan membawa dosa dan kemaksiatan.

Marilah kita ambil beberapa pengajaran berharga dari mereka :

Aisyah r.a. menceritakan bahawa Rasulullah s.a.w. tatkala menjelang wafat disediakan untuk beliau satu bekas air, beliau memasukkan tangannya ke dalam air lalu mengusapkan ke wajahnya seraya bersabda, “La ilaha illallah, sesungguhnya di dalam kematian ada sakaratul maut.” Kemudian beliau menengadahkan kedua tangannya lalu mengatakan, “Fir Rafiqil A’la” lalu beliau wafat dan tangannya tergeletak lemas.

Ketika Umar al Faruq menjelang ajal, beliau berkata kepada puteranya Abdullah, “Letakkan pipiku di atas tanah“, namun Abdullah enggan untuk melakukan demikian. Beliau berkata sehingga tiga kali, “Letakkan pipiku di atas tanah, semoga Allah melihatku dalam keadaan demikian, kemudian Dia merahmatiku. ” Diriwayatkan, bahawa beliau terus menangis sehingga pasir-pasir menempel di kedua mata beliau seraya mengatakan, “Celakalah Umar, celaka juga ibunya, jika Allah tidak memaafkannya.”

Ketika Abu Hurairah sakit tenat beliau menangis, lalu ditanya, “Apa yang membuat anda menangis?”. Beliau menjawab, “Saya menangis bukan kerana dunia ini, tetapi saya menangisi perjalanan selepas ini (dunia), bekalku yang sedikit, lalu saya akan berada di suatu tempat yang menanjak lagi amat luas, sedangkan saya tidak tahu akan dimasukkan ke neraka atau ke syurga.”

Usman r.a. berkata di akhir hayatnya, “Tidak ada ilah selain Engkau, Maha Suci Engkau ya Allah , sesungguhnya aku adalah termasuk orang-orang yang berbuat aniaya. Ya Allah aku mohon pertolongan dalam semua urusanku, dan aku memohon kesabaran dalam menghadapi ujian yang menimpaku.”

Wahai manusia! Kini saatnya orang-orang yang tertidur untuk bangun dari tidurnya, sudah sampai masanya orang yang lalai sedar dari lenanya, sebelum datang maut dengan membawa kepayahan dan kepahitan, sebelum tubuh berhenti bergerak dan sebelum nafas terputus. Sementara belum memasuki perjalanan menuju alam kubur dan kehidupan akhirat yang kekal abadi.

Abu Darda’ ketika menjelang wafat berkata, “Apakah seseorang tidak mahu beramal untuk mempersiapkan pentas perjuangan ini? Mengapa orang tidak beramal untuk menghadapi waktu ini? Mengapa orang tidak beramal untuk menyongsong hariku ini? Kemudian beliau menangis, maka isteri beliau bertanya,”Mengapa engkau menangis, bukankah engkau telah menemani Rasulullah s.a.w.? Beliau menjawab, “Bagaimana aku tidak menangis sedangkan aku tidak mengetahui bagaimana dosa-dosa telah menyerangku.”

Dan berkata Abu Sulaiman ad-Darani, “Aku berkata kepada Ummu Harun seorang wanita yang rajin beribadah, “Apakah anda senang dengan kematian? Maka dia menjawab, “Tidak! Aku bertanya, “Mengapa? Maka dia mejawab, “Demi Allah , andaikan aku berbuat kesalahan kepada makhluk saja, maka aku takut untuk bertemu dengannya, apatah lagi jika aku berbuat maksiat kepada Khaliq Yang Maha Agung?”

Atha’ as Sulami ditanya tatkala sakit yang menyebabkan kematiannya , “Bagaimanakah keadaan anda? Beliau menjawab, “Kematian berada di leherku, kuburan ada di hadapanku, kiamat adalah akhir perjalananku, jambatan Jahannam adalah jalanku, dan aku tidak tahu apa yang akan terjadi pada diriku“. Kemudian beliau menangis dan terus menangis sehingga pengsan. Ketika sedar kembali beliau mengucapkan, “Ya Allah kasihanilah aku, hilangkanlah kesedihan di dalam kuburku, mudahkan kesulitanku ketika menjelang kematian, rahmatilah kedudukanku di hadapan-Mu wahai Zat Yang Paling Pengasih di antara para pengasih.”

Sementara itu ketika Sulaiman at Taimi telah dekat dengan kematiannya , dikatakan kepada beliau, “Khabar gembira buat anda, kerana anda adalah orang yang sangat bersungguh-sungguh di dalam ketaatan kepada Allah .” Maka beliau menjawab, “Janganlah kalian mengatakan demikian, sesungguhnya aku tidak mengetahui apa yang zahir di hadapan Allah Azza wa Jalla, kerana Dia telah berfirman, “Dan jelaslah bagi mereka azab dari Allah yang belum pernah mereka perkirakan.” (QS. 39:47)

Disebutkan bahawa Abu Darda’ apabila ada seseorang yang meninggal dalam keadaan yang baik, maka beliau berkata, “Berbahagialah engkau, andaikan aku dapat menggantikan dirimu“. Maka Ummu Darda’ bertanya kepadanya tentang hal itu, lalu beliau menjawab, “…. bukankah engkau tahu, bahawa ada seseorang yang pagi-pagi dia beriman, namun di petang hari telah menjadi munafik, ia lepaskan keimanannya tanpa dia menyedarinya “

Muhammad al Munkadir menangis tatkala menjelang wafatnya, lalu ia ditanya, “Apa yang membuat anda menangis? Beliau menjawab, “Demi Allah aku menangis bukan kerana dosa yang aku ketahui telah aku lakukan, namun aku takut jika telah melakukan sesuatu yang aku anggap remeh namun di hadapan Allah ternyata itu adalah sesuatu yang amat besar.”

Sufyan ats Tsauri berkata, “Tidak ada tempat yang lebih dahsyat bagiku daripada (tempat) terjadinya sakaratul maut, aku sangat takut kalau dia (sakarat) terus menerus menekanku, aku telah meminta keringanan, namun dia tidak menghiraukan, sehingga aku terkena fitnahnya.” Kemudian beliau menangis semalaman hingga menjelang pagi, ketika beliau ditanya, “Apakah tangisan tersebut kerana dosa? Maka beliau mengambil segenggam tanah dan berkata, “Dosa lebih ringan dari pada ini (tanah, maksudnya adalah maut), aku menangis kerana takut terhadap su’ul khatimah (akhir hidup yang buruk).”

Shofwan bin Sulaim berkata , “Di dalam kematian ada rahah (istirahat) bagi seorang mukmin dari huru hara dan hiruk pikuk dunia, walaupun mesti merasakan putusnya nafas dan kepedihan.” Kemudian beliau mengalirkan air mata.

Wahai saudaraku! Marilah kita anggap diri kita masing masing sebagai seorang yang sedang berbaring menunggu ajal. Saudara dan tetangga sedang mengerumuni kita, lalu di antara mereka ada yang berkata, “Si Fulan telah berwasiat, sedangkan hartanya telah dihitung.” Ada lagi yang berkata, “Si fulan sudah tidak dapat berbicara, sudah tidak mengenali para tetangganya dan mulutnya tertutup rapat. Mereka melihat kita, kita mendengar apa yang mereka bincangkan, namun tidak kuasa untuk menjawabnya. Lalu kita lihat anak kita yang masih kecil menangis terisak-isak di sisi kita seraya berkata , “Wahai ayah tercinta siapakah yang akan mengasuhku nanti setelah ayah pergi? Siapakah yang akan memenuhi keperluanku nanti? Kita mendengar semua itu, namun demi Allah kita sudah tidak mampu manjawab lagi.

Syafiq bin Ibrahim berkata, “Bersiap-siaplah anda semua di dalam menghadapi kematian, jangan sampai ketika ia datang lalu anda minta dikembalikan lagi ke dunia (kerana belum beramal).”

Al ‘Alla’ bin Ziyad mengatakan juga, “Hendaknya setiap orang dari kalian merasakan, bahwa dirinya telah meninggal, lalu memohon kepada Allah untuk dikembalikan ke dunia, kemudian Allah memenuhinya, maka hendaklah kalian beramal ketaatan kepada Allah .“

Syamith bin ‘Ajlan berkata , “Manusia itu ada dua golongan, pertama orang yang terus mencari bekal di dunia, dan ke dua orang yang terus bersenang-senang di dunia. Maka perhatikanlah, dari golongan manakah dirimu?”

Diceritakan bahawa suatu hari al Hasan al Bashri melewati sekelompok pemuda yang sedang tertawa terbahak-bahak, maka beliau bertanya, “Wahai anak saudaraku, apakah kalian pernah menyeberangi ash Shirath (jambatan Jahannam)? Para pemuda itu menjawab, “Belum.” Beliau bertanya lagi, “Apakah kalian tahu ke syurga ataukah ke neraka kalian akan dimasukkan?” Mereka menjawab, “Tidak.” Kemudian beliau berkata, “Lalu mengapa engkau ketawa sedemikian ? Semoga Allah memberi maaf kepada kalian semua.” Dan ketika beliau menjelang wafat beliau menangis seraya mengatakan, “Jiwa yang lemah, sedang urusan sangat dahsyat dan besar, sesungguhnya kita adalah milik Allah dan sesungguhnya kepada-Nya kita akan kembali.”
Wahai saudaraku! Kita semua tidak dapat membayangkan bagaimanakah keadaan malam pertama di alam kubur itu. Anas r.a. pernah berkata, “Mahukah kalian aku beritahu tentang dua hari dan dua malam yang belum pernah diketahui dan didengar oleh manusia (yang masih hidup)? Hari yang pertama adalah hari di mana datang kepadamu pembawa berita dari Allah , baik dengan membawa keredhaan-Nya ataupun murka-Nya (waktu meninggal-pent), dan kedua iaitu hari di mana kalian dihadapkan kepada Allah untuk mengambil buku catatan amal, dengan tangan kiri atau dengan tangan kanan. Sedangkan dua malam, adalah malam pertama kali di dalam kubur dan malam di mana pagi harinya dilenyapkan tatkala terjadinya Hari Kiamat.”

Kematian adalah perkara yang mengerikan, urusan yang sangat dahsyat, suguhan yang rasanya paling pahit dan tidak disukai. Dia adalah peristiwa yang menghancurkan seluruh kelazatan dunia, memutuskan ketenangan, serta pembawa duka dan kesedihan. Dia memutuskan segala yang telah tersambung, memisahkan anggota badan dan menghancurkan seluruh tubuh, sungguh dia adalah perkara yang sangat besar dan mengerikan.

Kita bayangkan bagaimana keadaan kita tatkala kita diangkat dari tempat tidur kita, dibawa ke suatu tempat untuk dimandikan, lalu kita dibungkus dengan kain kafan, keluarga dan tetangga bersedih, saudara dan teman menangis. Orang yang memandikan kita berkata, “Dimanakah isteri si fulan, dia akan melepaskan suaminya pergi, dan dimanakah anak-anak yatim si fulan, Kalian semua akan ditinggalkan oleh ayah, kalian tidak akan bertemu lagi dengannya setelah ini.”

Jika para Nabi dan Rasul, shalihin dan muttaqin semuanya mengalami hal itu, maka apakah kita akan terlena dari mengingatnya? Wallahu a’lam bish shawab.

-Di saring dari artikel dari www.alsofwah.or.id yang memetiknya dari Buletin Dar Ibnu Khuzaimah, judul ” ‘Ala Firasyil Maut.”

Read More...

search